my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Isnin, Julai 04, 2011

Super Girl!!!

Lama dah nak berkongsi cerita tentang alatan yang Dina gunakan untuk keperluan hariannya. Hari ni baru ada mood dan kelapangan sedikit untuk berblog. Kesemua peralatan ini baru dibeli tahun lepas kerana bila usia Dina makin meningkat banyak alatan baru yang Dina perlukan.      
<><>
<> 
Standing frame untuk meluruskan kaki Dina supaya tulang kakinya kuat dan tidak rapuh.

Tumble Form untuk Dina duduk dengan lurus dan selesa.

Air Mattres untuk Dina berbaring atau tidur tanpa ada kesan melecet pada belakang badannya.

Kesemua peralatan ini banyak membantu Dina untuk mendapat keselesaan didalam kehidupan sehariannya.


Rabu, Jun 22, 2011

This is your day...

Semalam 21hb 6 2011 genap umur Nur Irdina 11 tahun. Adik adik Dina, Asila dan Aqif pulak yang terlebih excited nak sambut birthday kakak. Memang tak rancang nak sambut pun, cuma beli kek kecik je untuk si puteri kecil ni. Asila tanya: "Ibu malam ni kita sambut hari jadi kakak ya? kakak boleh makan kek ke?" mungkin sebab tengok hari hari kakak makan nestum dan minum susu je jadi Asila tanya... "Boleh.. kakak boleh makan sikit Asila suapla kakak".  Asila: "nanti Asila suap kakak lepas tu suap Asila, lepas tu suap kakak balik".  Memang betul malam tu Asila ambil dua potong kek satu untuk dia dan satu untuk kakak dan dia suap kakak sampai habis satu setengah potong kek dan Asila cuma makan setengah potong je..  Terkejut sebab kakak tak pernah makan kek banyak macam tu dan bangga sebab adik adik sayang dan ingat kat kakaknya yang istimewa.. Tak lupa, Aqif pun kongsi sikit kek dia untuk kakak.   


Syukur Alhamdulillah... sampai ke hari ini Kakak Dina masih dikurniakan kesihatan yang baik dari Allah.. Semoga kami sekeluarga sentiasa berada dalam rahmatnya...Amin.....   Love Ibu.... 

Jumaat, Januari 14, 2011

Saufiville - Secret garden


Saufiville Resort Janda Baik Pahang
 
Bersyukur sungguh kerana dilahirkan sebagai warganegara Malaysia, kerana bumi bertuah ini aman damai, cantik dan terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Seperti tahun tahun yang lepas, cuti persekolahan akhir tahun memang dinanti nantikan oleh semua anak anak. Tuntutan biasa dari mereka, pergi jalan jalan, dekat pun takpe asal berjalan dan keluar dari rumah. Puas memikir mana nak pergi, akhirnya kami ke Janda Baik Pahang. Memang mood cuti kali ni pergi ke tempat yang dekat sebab Aqif baru sahaje lepas bersunat.

Pemandangan dari Sufiville Resort
 
Di satu sudut kolam renang terdapat kolam ikan perhiasan


Kolam ikan perhiasan


Isnin, November 29, 2010

ARWANA RESORT PULAU PERHENTIAN (4 HARI 3 MALAM)

  • Pening juga kepala memikirkan percutian kali ini, kerana buat pertama kalinya kami sekeluarga bercuti dengan  menaiki kapal terbang. Pening memikirkan macam mana keadaannya nak bawa kerusi roda Dina dan barang2 untuk 6 orang dan sama ada nak bawa prem baby sekali atau tidak. Ni baru pergi bercuti ke Kelantan & Pulau Perhentian kalau pergi luar negara lagi pening agaknya. Pampers untuk Dina & baby, susu untuk Dina & baby, nestum untuk Dina dan yang paling penting ubat Dina, semua kena periksa betul betul, sebab nak beli kat Pulau mana ada barang barang macam tu.  
  • Kami bertolak dari LCCT pada pukul 11am 26hb 9, 2010 dan seperti yang dijangka rupanya ada juga benda yang terlupa,(salinan surat beranak anak anak).Nasib baik pegawai di airport bagi pelepasan. Kami sampai di Kota Bahru pada pukul 12am. Kami makan tengah hari, makan malam, membeli belah dan bermalam di Pengkalan Chepa. Esok paginya baru kami bertolak ke Jeti Kuala Besut dengan menaiki van.
Kak Dina di jeti Kuala Besut.
Dalam bot laju
  • Banyak tangan yang membantu semasa mengangkat dan menurunkan Kak Dina dari bot. Rasanya Kak Dina pasti seronok. Perjalanan dari jeti ke pulau mengambil masa 30 minit tetapi rasa sekejap kerana leka dengan pemandangan yang cantik. Sesungguhnya ALLAH maha pencipta.
Kak Dina sedang menunggu ibu mengambil kunci bilik.

Kak Dina rehat dibilik dengan Baby Uqail.


Semua orang makan sedap2, Kak Dina makan nestum aje...


Bergambar dengan Aqif, Tisya & ibu depan kafe...
Kak Dina jalan jalan ambil angin..
Dengar bunyi adik & sepupu bermain di kolam renang...
Jalan dari cafe menuju ke bilik..
  •  Dina lena tidur dalam boat semasa perjalanan balik menuju ke Jeti Kuala Besut. Satu lagi kenangan yang tak dapat dilupakan, ibu boleh lupa ambil baby Uqail dari Pak Tam nya, nasib baik tinggal kat Pakciknya kalau tinggal kat orang lain...  Syukur pada ALLAH kerana kami sekeluarga selamat dalam perjalanan pergi dan balik dari percutian kali ini. Kalau banyak rezeki kita pergi tempat yang lagi best untuk Kak Dina &adik adik. Love: Ibu.  

Khamis, Ogos 05, 2010

ALLAH LOVE...

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! kami telah menguji orang orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang orang yang benar benar beriman, dan nyata pula apa yang diketahui Nya akan orang orang yang berdusta. AL ANKABUT. 2-3.
Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan kepada para Nabi adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'Alaihi'Wasallam: "Sesungguhnya, manusia yang menerima ujian yang paling berat adalah Para Nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka dan kemudian orang yang mengikuti mereka." (AL-Silsilah Al-Sahihah. Al Albani)
Maka bersabarlah. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada ALLAH dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh ALLAH pasti akan ada perkara yang lebih baik menanti. With Love.....

Rabu, Ogos 04, 2010

Holidays...



Percutian pertama Dina bersama keluarga tak jauh, hanya di Port Dickson. Rasanya umur Dina masa itu baru 4 bulan, tak banyak masalah untuk bawa dia kesana kemari kerana badan Dina sangat ringan. Teringat bertapa seronoknya Dina bila bermain air di kolam renang, ibu dan ayah bergilir gilir memegang, tapi tak boleh lama lama kesian Dina sejuk. Dari tahun ke tahun kami bawa Dina bercuti, Terengganu, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, tapi tak pernah lagi ke luar negara, kecuali ayah yang dah 2 kali pergi ke Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau berkesempatan memang nak bawa anak2 bercuti di negara orang, dapat ke negera jiran jadilah...kalau dapat ke negara para ambia lagi seronok.
Bila ada anak istimewa ni, mata orang akan tak berkelip memerhati, terutama bila pergi Shopping Complex. Kelakar pun ada melihat reaksi manusia yang ingin tahu tapi takut nak bertanya. Baru baru ni abang Aqif nak sangat pergi jalan, jadi kami bawa ke Berjaya Times Square. Sampai di sana, kalau tak nak main pun kene bayar, terasa rugi pulak, jadi suruh ayah ajelah yang temankan Aqif dan Asila biar ibu tunggu di luar dengan adik dan kakak. Memang ibu masa tu jadi tumpuan orang, bayangkan sebelah tangan ibu dukung adik sebelah tangan lagi ibu tolak kerusi roda kakak. Dalam fikiran ibu mungkin orang yang memandang itu berkata dalam hati "Hebat Sungguh Perempuan Ni" hi.. hi.. Tak kisahlah apa orang nak fikir, janji ibu berbangga memiliki anak anak yang hebat belaka terutamanya kakak Dina (Penghuni Syurga).    
Menurut Imam Al-Ghazali: Anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan.
  

I'm a Big Big Girl in a Big Big World

I'm a big big girl, in a big big world, it's not a big big thing if U leave me, but I do feel, I will miss u much...MISS U MUCH...
Dina dah semakin besar, berat badan pun dah bertambah.. kesihatan amat memuaskan jarang demam. Kalau adik adik demam Dina jarang berjangkit mungkin banyak makan suppliment agaknya, kalau sakit pun cuma batuk selsema. Pernah sekali Dina di tahan masuk wad kerana banyak lendir di paru paru itu pekara biasa bagi kanak kanak yang tak banyak bergerak   macam Dina. Doktor puji kerana kulit Dina elok tidak melecet walaupun kerap baring. Setiap dua jam ibu akan alihkan kedudukan supaya Dina selesa dan tak lenguh. 
"Macam manalah Dina kalau kau takda nanti, siapa nak jaga dia...?" Pertanyaan ni selalunya datang dari orang luar, kaum keluarga tak pernah bertanya soalan cepu emas ni. Dulu susah juga ibu memikirkannya...siapa nak jaga dia kalau aku mati? tak kan nak menyusahkan adik beradik, mak dan mak mentua dah tua... aku yang muda ni pun kena tarik nafas dalam dalam bila nak mengangkatnya. Lama kelamaan hati ini dah tak risau lagi... tak tahu kenapa... jawapannya amat mudah!! sentiasa berlegar legar di kepala bila ada orang bertanya, "ALLAH yang menciptakan, tahulah ALLAH nak menguruskan, aku buat yang terbaik untuknya sebagai ibu, selebihnya aku serahkan pada yang maha kuasa." Bila jawapan itu yang terpancul dari mulut, tiada lagi soalan soalan yang hendak ditanya, mungkin berpuas hati atau takut menyinggung perasaan si ibu. 
Dalam hadis Qudsi nabi menceritakan"Bahawa Tuhan berkata" Akulah ALLAH tiada tuhan yang sebenarnya, selain aku, maka barangsiapa yang tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur atas nikmatku dan tidak rela atas keputusanku, maka hendaklah dia mencari Tuhan yang lain daripada ku." Semoga kita tidak tergolong dari golongan yang demikian.....   

Isnin, Ogos 02, 2010

Superman Returns

Buah Hati Ibu dan Ayah
08hb 2. 2002, Alhamdulillah ..berakhirlah debaran yang ditanggung hampir sembilan bulan, dek risau pisang berbuah dua kali.  Pemberian yang tak ternilai dari yang MAHA MENGETAHUI. Seorang baby lelaki selamat dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Ampang Puteri."Muhammad Aqif" nama yang dipilih untuk putera ini, yang bermaksud "penumpuan". Memang kami mengharapkan Muhammad Aqif akan
menjaga kakak Dina sebaik mungkin dan menjadi sekuat Superman supaya dia dapat melindungi kakak bila ibu dan ayah tiada. Nur Irdina seakan tahu yang dia sudah punya adik, bila terdengar tangisan adiknya dia akan tercari cari dan tersenyum, lebih lagi bila diletakkan adik disisinya.  
Cahaya mata kedua ini memang dirancang kelahirannya. Keinginan mempunyai anak ramai memang menjadi impian, tetapi atas nasihat doktor pembedahan hanya boleh dilakukan sebanyak 4 atau 5 kali sahaja, Alhamdulillah itu sudah cukup buat ibu bahagia. 
Doa ibu: Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang orang yang soleh.
(Doa Nabi Ibrahim ini dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T. Baginda memdapat anak lelaki yang soleh dan penyabar iaitu Nabi Ismail a.s.)  

ANUGERAH.."Run Forrest Run....!!!!"



21hb 6 2001, Cahaya Kehormatan ibu dah berusia 1 tahun.... sungguh cepat masa berlalu...Kalau orang yang tak dikenali tegur mesti akan bertanya "berapa bulan baby ni? 4 bulan ke?" Tapi ibu dah lali dengan pertanyaan macam tu... kalau malas nak terangkan ibu cakap "Ya 4 bulan" kalau rajin ibu akan terangkan yang sebenarnya..dan melihat perubahan air muka orang yang bertanya, mungkin simpati atau menyesal bertanya.

Cabaran yang ibu lalui bukan disebabkan susah menjaga puteri ibu ni, tetapi letih nak memenuhi permintaan orang yang suruh berubat kesana kesini seolah olah ibu tak pernah berikhtiar untuk menyembuhkan anak ibu. Cakaplah mana tempat yang ibu tak pergi, mana cara perubatan yang ibu tak cuba..(Urut tradisional dari klang, negeri sembilan, sentul, keramat. berubat cina, urut dari sifu cina, doa2 dari macam2 ustaz, makan suppliment dari Dr.Nasoha, Ozon trapi dari pusat perubatan kampung baru, fisiotraphy dari hospital dan macam2 lagi)

Akhirnya ibu dah temui ubat untuk membesarkan anak ibu ni, iaitu redha dan terima yang ALLAH menciptakan Dina ini khas untuk ibu dan ayah dan ada rahmat disebalik anugerah ini... Ibu tersangat sayangkan Nur Irdina.....

Sabtu, Julai 31, 2010

NUR IRDINA mengubah segalanya...











Sangat comel....kulit putih, mata bulat, hidung mancung, bibir merah, rambut ikal hitam. Cukup sempurna ciptaan ALLAH ini, syukur pada ALLAH yang memberi rezeki dalam bentuk yang tak disangka sangka. Kelahiran Nur Irdina membawa perubahan pada ibu bapanya.. Keinginan untuk belajar ilmu agama sungguh kuat, terutama si bapa yang berusaha mencari kelas kelas mengajian agama untuk memenuhi jiwa yang dahagakan ilmu supaya ianya tidak kosong. Jiwa yang kosong mudah dipengaruhi oleh syaitan, oleh itu wajib bagi kita umat islam belajar, memahami dan mengamalkannya. Bila kita berusaha untuk mengenal ALLAH semua dugaan yang diberi akan menjadi suatu yang mudah untuk diterima...rasa kesal, marah, geram, dendam, sakit hati,benci....bertukar menjadi, kasih sayang, maaf, redha dan paling penting yakin bahawa ALLAH menjadikan sesuatu itu tidak ada yang sia sia.

Menjaga Nur Irdina bukan mudah kerana dia kerap menangis dan terkena serangan sawan.. Susu pun harus diberi sedikit demi sedikit...tidur kerap terjaga dan tak lena. Tapi itu semua bukan masalah buat ibu...ibu sanggup berhenti kerja untuk menjaga bidadari kecil ini, supaya Dina mendapat perhatian dan penjagaan yang sempurna. ALLAH pemberi rezeki, tawaran berkerja ditempat baru diterima Ayah dengan bermacam kemudahan yang diberi syarikat. Semua menjadi cukup buat kami, Alhamdulillah....syukur pada ALLAH yang maha pengatur.
Ya TUHAN kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami RAHMAT dari sisi engkau, kerana sesungguhnya engkaulah maha pemberi KURNIAAN.
(QS. Ali Imran: 7)